As we enter the final stages of Ramadhan, I would like to share a story (link provided by Amin in KK) about a Malaysian daiee's experiences in Malaysia and abroad (Belfast, Ireland). It was written 3 years ago but still an eye-opener on the issues relating to spreading the message. The writer is Ustaz Hasrizal. His biodata
is here and his website is
http://saifulislam.comAKU SALAFI, ANAK (MURID)KU BAGAIMANA?KISAH SELUAR
“Eh, Mid. Seluar engkau tu tak sesuai. Warnanya tak masuk dengan warna baju engkau. Tukarlah seluar lain. Pakai yang gelap sedikit”, Edi menunding jari ke arah Hamid yang wajahnya masam mencuka.
“Mid, engkau nak keluar macam tu? Tak malu ke? Orang zaman sekarang ni sudah tidak pakai seluar begitu. Carilah yang up-to-date sikit”, Zamri pula mencelah, turut sama memberi komen kepada Hamid yang baru sahaja menukar seluarnya.
“La Ilaha Illallah. Itukah seluar terbaik engkau? Malu aku nak berjalan dengan kamu, Mid. Seluar macam itu, orang sekarang buat kain pengelap lantai sahaja, kau tahu tak?”, kata Azlan yang tidak berpuas hati dengan penampilan rakan serumahnya, Hamid.
Pipi Hamid sudah merah. Wajahnya sudah masam mencuka. Rupanya seperti bom yang mahu meletup. Pakai yang ini salah, pakai yang itu salah, habis yang mana satu?
“Yelah yelah, susah sangat, aku keluar rumah bertelanjang lagi senang”, akhirnya Hamid keluar dari biliknya bertelanjang. Ia menjadi insiden yang amat mengaibkan. Tidak tergamak untuk ditulis di sini.
Ya, akibat keliru dan diasak dengan pelbagai pendapat, akhirnya Hamid mengambil keputusan paling drastik iaitu bertelanjang.
Kisah di atas mungkin sekadar bayangan saya. Namun saya menulisnya sebagai gambaran tentang kekeliruan yang berlaku di kalangan masyarakat kita dengan kepelbagaian pendapat yang menyerang. Bila dibuat begini, dikatakan Bid”™ah. Bila dibuat begitu, diserang pula dengan tohmahan sebagai Wahabi. Akhirnya golongan ini terkeliru dan mereka membuat keputusan yang paling popular masa kini, iaitu bertelanjang. Mereka menelanjangkan diri dari agama, kerana agama itu sungguh mengelirukan.
Siapakah yang mengelirukan masyarakat tentang agama? Tidak lain dan tidak bukan, iaitulah golongan agama sendiri. Sama ada yang berkelulusan agama dari Alif sampai Ya, mahu pun yang Alifnya rumi, dan di tengah-tengah jalan, Lamnya menjadi jawi dan Arabi.
REALITI YANG DILUPAKAN
Ya, dalam keasyikan melayan pelbagai pandangan dan aliran, kita sering terlupa bahawa majoriti telah memilih untuk bertelanjang. Mereka menanggalkan agama dari diri kerana agama sungguh menyerabutkan. Pandangan ini saya kutip daripada pelbagai siri pertemuan, terutamanya apabila mengendalikan kursus wajib yang disediakan oleh pihak Universiti dan Kolej. Saya bertemu dengan ramai pelajar yang pelbagai dan nyata sekali di hari pertama kursus, kebanyakannya hadir dengan paksa rela.
Ia berbeza dengan kuliah di masjid. Masjid hanya dihadiri oleh mereka yang berjiwa masjid. Maka kita bertemu dengan insan yang hampir sama corak fikir dan gelombang frekuensinya. Ia juga tidak sama dengan program terbuka yang iklan di papan kenyataan hanya dipedulikan oleh mereka yang peduli. Akan tetapi, ketika saya berprogram melalui Fitrah Perkasa, saya bertemu dengan manusia yang sungguh pelbagai. Saya tidak berhasrat untuk mengulas dalam skala yang terlalu besar, maka untuk kali ini saya hanya ingin mengajak pembaca menumpukan perhatian kepada kekeliruan yang menimpa golongan muda, khususnya pelajar sekolah, kolej dan universiti.
Saya masih ingat, semasa di Belfast, saya menghadapi masalah yang sama. Soalan saya semasa itu mudah sahaja, AKU SALAFI, ANAK (MURID)KU BAGAIMANA?
Bagaimanakah sepatutnya saya mengajar anak-anak murid yang pelbagai itu? Jika saya mengajar solat Fajar tanpa qunut, ia menghairankan anak murid saya yang beribu bapakan seorang Melayu yang tidak pernah meninggalkan qunut, bahkan menggantikan qunut yang tertinggal dengan sujud sahwi. Seandainya saya mengajar solat Fajar dengan qunut, ia membingungkan anak murid saya yang berketurunan Pakistan dan Turki yang hairan mengapa mereka diajar qunut sedangkan ibu bapa mereka terus sujud selepas bangun dari rukuk di rakaat kedua.
Saya harus akur bahawa pelajar di sekolah saya terdiri daripada anak-anak yang datang dari lebih 25 negara. Pakistan, India, Bangladesh, Kashmir, Turki, Bosnia, Adzerbaijan, Mesir, Jordan, Syria, Arab Saudi, Maghribi, Algeria, Libya, Tunisia, Lubnan, Iraq, malah Iran dan tidak lupa Malaysia, serta yang sudah pastinya British, English, Irish, dan Scottish. Semua itu terhimpun dalam sebuah sekolah kecil bernama Belfast Islamic School yang berpengetuakan saya, seorang budak Melayu yang baru berusia 26 tahun ketika itu.
Itu baru satu isu.
KEBENARAN ISLAM VS KRISTIAN
Masalah seperti ini juga membabitkan isu kebenaran Islam dan Kristian. Saya tidak boleh secara mudah menyebut, “agama yang benar adalah Islam, manakala Kristian itu batil dan sesat, tempatnya di neraka!”�. Mengapa tidak? Sebabnya mudah. Hampir 20 orang daripada anak murid saya yang ibu mereka Kristian manakala bapa mereka Muslim. Dengan menggunakan peruntukan perkahwinan bersama ahli Kitab, jumlah penduduk di Belfast yang mengahwini perempuan Kristian tempatan agak signifikan.
“Imam, saya rasa emak saya yang Kristian lebih baik akhlaknya berbanding ayah saya yang Muslim. Takkanlah mak saya masuk neraka!”, kata salah seorang anak murid saya.
Habis, apakah jawapan yang dapat saya berikan? Hakikatnya memang begitu.
Saya pernah dihubungi oleh pihak polis yang meminta agar saya hadir ke sebuah funeral house. Saya dijemput dengan sebuah limosin hitam, bagi menghadiri upacara menyembahyangkan jenazah seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun yang meninggal dunia semasa tidur. Ibunya Kristian bermazhab Katolik dan ayahnya seorang Muslim Arab dari Algeria.
Semasa tiba di majlis tersebut, saya bertemu dengan si ayah. Bertindik, rambut kerinting cantik berdandan. Si ayah bersalam acuh tidak acuh dengan saya. Tiada sepatah pun kalimah dari mulutnya, salam saya juga tidak berjawab.
Saya dibawa bertemu dengan si ibu, wanita Irish dalam usia akhir 20′an. Wajahnya sugul sekali dan ketika melihat saya, dia datang sambil melemparkan senyuman yang dipaksa.
“Terima kasih, Imam. Saya amat menghargai kedatangan Imam. Maafkan saya kerana meminta bantuan polis untuk mencari Imam sebab saya tidak tahu lokasi masjid di Belfast.”, katanya.
“Tak apa, puan. Malah saya amat berterima kasih di atas kesungguhan puan menghubungi kami. Apa yang terjadi puan? Bagaimana puteri puan meninggal dunia?”, saya bertanya.
“Tuan Imam, anak saya tuan Imam. Itulah satu-satunya anak kami. Kami amat sayangkan dia. Tetapi pagi Isnin baru-baru ini, kami bangun pagi dan dapati Mary sudah tidak bernyawa. Wajahnya biru dan tubuhnya sejuk membeku”, jawab wanita tersebut dengan tangisan air mata.
“Inna Lillah wa Inna Ilayhi Rajioon. Takziah dari saya, semoga Allah memberi kekuatan kepada puan dan suami”, saya cuba mententeramkannya.
“Maafkan suami saya Imam, dia memang begitu. Agak kurang peramah”, kata perempuan tersebut sambil merenung suaminya yang sedang menghembuskan asap rokok ke tingkap koridor.
Saya dan rombongan masjid dibawa ke dewan. Kami meminta supaya di arah kiblat, tiada sebarang tanda salib atau patung. Semasa menjenguk ke keranda, berderai air mata saya melihat si anak kecil yang dihias cantik, dengan gaun putih dan rambut yang disikat kemas.
“Allah telah menyelamatkan dirimu wahai anakku, Maryam. Pulanglah engkau ke syurga-Nya”, saya berbisik sendirian ke arah sekujur jenazah yang mati penuh misteri.
Saya susunkan saf menjadi tiga. Seterusnya saya imamkan solat jenazah di pagi yang hening itu, sambil diperhatikan oleh puluhan anggota keluarga ibu si Mary. Ayahnya enggan bersolat bersama kami.
Selesai mengerjakan solat, saya diminta berucap di hadapan orang ramai, sebagaimana adat yang diamalkan oleh penganut Kristian Katholik.
SAYA BERTALQIN?
“Tuan-tuan dan puan-puan, khususnya Puan Catriona sekeluarga. Sesungguhnya kematian ini adalah sesuatu yang pasti. Kita merancang pelbagai perkara yang entahkan sempat atau tidak kita melakukannya. Tetapi janganlah kita lupa merancang untuk hidup selepas mati.
Ajaran agama kami iaitu Islam, menyatakan bahawa setiap bayi yang lahir, adalah suci dan bersih. Suci dan bersihnya mereka menyebabkan setiap mata yang melihat wajah kanak-kanak akan terhibur, kerana pada diri mereka tiada dosa. Di antara kanak-kanak yang suci itu adalah Mary Daly yang akan berpisah dengan kita buat selama-lamanya hari ini. Mary lahir dengan penuh kesucian, seperti kanak-kanak yang lain, seperti Mary ibu kepada Isa. Dan apabila dia pulang kepada Tuhan seawal usia ini, dia pulang dengan suci, dan pastinya Tuhan menyambut kepulangan Mary dengan penuh restu.
Walaupun sedih, namun bergembiralah Puan Catriona dan suami, serta sekalian yang mengasihinya kerana Mary pulang ke syurga. Tempat yang selayaknya untuk insan-insan yang suci sepertinya. Semoga Allah menerima Mary dengan sebaiknya, dan memberikan kekuatan kepada ibu dan ayahnya, Amen”, saya mengakhiri ucapan pagi itu dengan sekalung doa.
Entahlah, apakah perbuatan saya itu menjadi talqin yang dibid’ahkan oleh sesetengah orang? Namun ia adalah peluang dakwah yang amat besar kerana hanya dengan Islam sahaja, kematian Mary boleh dilihat positif, sedangkan ramai yang hadir gusar kerana Mary belum disucikan daripada original sin sebab belum sempat dibaptiskan paderi.
PENTINGKAH ILMU PEDAGOGI?
Pengalaman di atas sungguh unik, namun saya tetap melihatkan sebagai suatu cabaran yang mengelirukan, apabila ia dibawa ke institusi pendidikan. Di Belfast Islamic School, saya harus serius memikirkan kaedah pendidikan yang tersendiri lantaran keadaan anak-anak murid saya yang sungguh unik lagi tersendiri.
Pada masa itu ilmu dan pengalaman saya amat cetek. Saya terpanggil untuk berusaha meningkatkan diri dengan memohon menyertai program Master di bidang Sosiologi Agama di The Queen’s University of Belfast. Tetapi semasa hari pendaftaran saya membatalkan hasrat itu kerana tidak mempunyai bekalan wang yang mencukupi.
Pada tahun yang berikutnya saya telah mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di bidang Pendidikan (Curriculum Studies) bersama The Open University, UK. Tujuan saya memilih bidang ini adalah kerana cabaran saya di Belfast Islamic School. Saya harus serius membangunkan kurikulum yang tepat bagi sekolah itu bahkan sekolah-sekolah lain di UK dan Ireland.
Tidak mungkin generasi anak-anak ini dididik dengan sistem pendidikan yang dilalui oleh ibu bapa mereka. Anak-anak ini menerima pendedahan terhadap Islam dalam bentuk yang berbeza. Soal mazhab, perkahwinan campur dan banyak lagi isu, harus ditangani dengan teliti.
Saya tidak boleh mengambil pendekatan bebal. Ahh, manhaj aku adalah yang paling tepat dengan al-Quran dan al-Sunnah. Maka dunia harus berputar mengikut putaranku. Soal mereka ikut atau tidak, itu tidak penting. Yang mengikut tandanya dapat hidayah. Manakala yang menolak, terserahlah nasib mereka untuk ditentukan Allah! Wah, mampukah saya berkata demikian? Jika anak orang lain mungkin sedap mulut kita menyebutnya. Tetapi apabila terkena anak sendiri, mahu dibiarkan sahajakah dia terhumban ke lembah yang terpesong dari jalan ke syurga itu?
Guru-guru yang mengajar anak murid tanpa mengambil kira kesan pengajarannya, adalah sungguh tidak mempedulikan Sunnah. Kita mengajar untuk express atau impress? Kita berceramah untuk memandaikan orang atau untuk tunjuk pandai di hadapan orang?
Kerana itu, saya tenggelamkan diri saya dalam himpunan buku pedagogi. Alhamdulillah, rakan-rakan sekuliah amat pelbagai. Ada cikgu sekolah di Jepun, ada guru penjara di Hawaii, dan ramai lagi rakan forum saya dalam subjek semester pertama kami. The Open University of UK mempunyai Fakulti Pendidikan yang terbesar di Eropah, dengan jumlah pelajar yang mencecah 16 ribu orang semuanya.
Malang sekali, di tahun pertama pengajian, saya ditimpa penyakit dan terlantar selama berbulan-bulan di rumah. Saya tidak boleh keluar rumah kerana kulit saya menjadi foto sensitif. Berbahang apabila terkena matahari. Saya mengundurkan diri dari pengajian di tahun itu.
Manakala di tahun berikutnya, saya menyambung kembali pengajian, tetapi malang sekali lagi, kami terpaksa pulang ke Malaysia kerana isteri saya dipanggil pulang berkhidmat di tanah air.
Walaupun MEd. saya terbengkalai, namun saya masih sensitif dengan metodologi pengajaran. Pada saya, ilmu mengajar adalah sama pentingnya dengan ilmu yang hendak diajar.
Read the rest here
Another excellent read on treading the delicate divide between two dissimilar views
http://www.zaharuddin.net/content/view/218/95/_______________________________________________________